Sabtu, 1 November 2008

Usul jangan pertikai Perkara 152, 153 dan kaitan Islam tidak dipolitikkan

BUTTERWORTH 1 Nov. - UMNO Bahagian Bagan hari ini mengemukakan usul supaya Perkara 152, 153 dan perkara berkaitan agama Islam yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak dijadikan agenda politik oleh mana-mana individu atau pihak di negara ini.
Ketuanya, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, ada banyak isu lain yang boleh dibangkitkan untuk membangunkan negara tanpa menyentuh perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan sekali gus menimbulkan kemarahan kaum lain.
Menurutnya, pada masa sekarang, terdapat pemimpin tertentu bersikap terlalu perkauman dan bertujuan untuk menggunakan isu berkenaan bagi menarik sokongan daripada akar umbi atau kaum masing-masing.
''Perkara menyentuh hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan negara tidak sepatutnya dipolitikkan.
''Kita tidak perlu menjadi hero kaum kerana tindakan itu akan menjarakkan lagi hubungan antara kaum di negara ini," katanya ketika membentangkan usul pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bagan di Dewan Abdullah Badawi di Butterworth di sini hari ini.
Abdul Latiff yang menang tanpa bertanding pada persidangan kali ini telah memegang jawatan itu selama empat penggal.
Tambahnya, orang Melayu di negara ini tiada masalah dengan kaum-kaum lain tetapi apabila isu berkenaan menjadi tegang akibat dipolitikkan, ia menjadi masalah.
Justeru, beliau menyeru supaya semua pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) agar tidak terperangkap dengan politik pembangkang yang dilihat sejak dahulu lagi gemar memainkan isu-isu perkauman, bahasa dan agama.
Dalam pada itu, bahagian tersebut turut mencadangkan supaya UMNO mengehadkan tempoh pemimpin memegang jawatan kepada hanya tiga penggal bagi memberi peluang kepada golongan muda mengambil alih jawatan itu.
''Ini merupakan antara cara untuk menarik kembali sokongan golongan muda kepada parti itu dalam usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai parti.
''Kita mulakan dengan tiga penggal dahulu dan apabila budaya itu sudah diterima dengan baik kelak, tempoh berkenaan mungkin boleh dikurangkan kepada dua penggal sahaja," katanya

Tiada ulasan: