Sabtu, 25 Oktober 2008

Reaksi Masjid Cina Muslim - PM sudah dimaklum

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) menjelaskan cadangan pembinaan masjid Cina sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Naib Presiden Macma, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, surat permohonan tersebut telah dihantar kepada Perdana Menteri pada 14 Ogos lalu.
‘‘Selepas itu pada 2 September lepas, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.) Ahmad Zahid Hamidi melalui kementeriannya bersetuju dengan konsep berkenaan dan tapak yang diminta oleh Macma berhampiran Pasar Borong Selayang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Namun, sehingga kini beliau mengakui usaha ke arah pembinaan masih belum berjalan walaupun sudah mendapat persetujuan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin mencadangkan agar kerajaan membina sebuah masjid Cina di pusat bandar Kuala Lumpur.
Beliau berpendapat masjid seperti yang terdapat di Surabaya, Indonesia iaitu Masjid Cheng Ho mampu menarik ramai masyarakat Cina mendekati agama Islam.
Lokasi yang dicadangkan oleh beliau adalah di tapak Penjara Pudu berdekatan Bukit Bintang kerana kawasan itu didiami oleh majoriti masyarakat Cina.
Menyentuh isu berkenaan, Ridhuan secara dasarnya amat bersetuju jika masjid itu dibina di sana kerana majoriti kaum Cina tinggal di sana.
‘‘Amat baik sekali, kerana lokasi di situ amat strategik serta mudah dikunjungi,’’ katanya yang mengakui Macma sudah 10 tahun memperjuangkan isu berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, usaha berkenaan amat penting supaya fahaman sempit kebanyakan rakyat Malaysia bahawa agama Islam milik orang Melayu boleh diubah.
‘‘Dengan itu, usaha dakwah lebih mudah dijalankan kepada kaum Cina kerana terdapat tempat rujukan bagi mereka mendapatkan gambaran Islam yang sebenar,’’ katanya.

Tiada ulasan: