Rabu, 22 Oktober 2008

Enam terbunuh tentera-MILF bertempur

ZAMBOANGA, Filipina 22 Okt. - Sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam pertempuran terbaru antara pejuang pemisah Islam dan tentera kerajaan di Pulau Mindanao, kelmarin.
Jurucakap tentera, Mejar Randolph Cabangbang berkata, pejuang pemisah berundur selepas pihak tentera menggempur tempat persembunyian mereka berhampiran pekan Datu Piang dengan tembakan meriam.
Dalam pertempuran itu, empat pejuang dan seorang anggota militia kerajaan terbunuh, katanya.
Dalam insiden lain, seorang askar terbunuh sewaktu bertempur dengan pejuang MILF di pekan Mamasapano semalam.
Keganasan terbaru itu dipercayai dilancarkan oleh kumpulan serpihan MILF yang diketuai oleh Komander Umbra Kato dan Komander Abdurahman Macapaar.
Kedua-dua pemimpin MILF itu melancarkan serangan ke atas kedudukan tentera selepas kecewa dengan keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini, yang mengiktiraf draf perjanjian damai MILF-Manila sebagai tidak sah.
Berpuluh-puluh orang telah menjadi korban pertempuran antara kedua-dua belah pihak serta menyebabkan hampir 500,000 penduduk hilang tempat tinggal di selatan Filipina.

Tiada ulasan: